Ringkasan
Syarahan Sabtu Malam[1]
Bersama
Tan Sri Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas
Pada tarikh 28 September 2013 lalu, Tan Sri Professor Dr.
Syed Muhammad Naquib al-Attas meneruskan kembali syarahannya daripada Saturday
Night Lecture dua pekan lepas (14 September 2013) yang bertempat di Universiti
Teknologi Malaysia mengenai faham Bangsa
dan Kebangsaan (Nation and Nationhood) dan hubungkaitnya dengan bahasa
Melayu sebagai penyatuan bangsa Melayu ini.[2]
Beliau memulai syarahannya dengan menghuraikan mengapa bahasa
Melayu mesti menjadi bahasa Nasional. Menurutnya, dalam sejarah kita (Melayu),
bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di Kepulauan Melayu ini, yang
mencapai kecermerlangannya kerana pengaruh kedatangan Islām. Islām yang
menyebarkan bahasa Melayu kemerata pelosok Kepulauan alam Melayu ini. Dan Islām
jugalah yang telah mengangkat dan menyatukan kelompok bahasa-bahasa yang dapat
digelar ‘Melayu’ supaya menjadi satu bahasa bangsa Melayu. Bahasa Indonesia dari bahasa Melayu pula, hanya sahaja mereka memanggilnya dengan bahasa Indonesia. Islām jualah yang menyebarkan bahasa Melayu
itu kemerata pelosok Kepulauan alam Melayu-Indonesia, sehingga kini menjadi
bahasa rasmi bagi negara tersebut. Negara Filipina pun menggunakan bahasa
Melayu pula, bahkan ketika khutbah Jum’at mereka menggunakan script Jawi,
namun ketika Spanyol datang ke Filipina, ianya merubah segalanya.
Pada tahun 1957, Prof. al-Attas telah memberikan
kontribusi yang sangat penting terhadap bahasa Melayu. Pada masa itu beliau
mempertahankan bahasa Melayu dari sebahagian puak-puak yang tidak menyetujui
bahkan ada upaya menyingkirkan bahasa Melayu sebagai bahasa Nasional. Termasuk
pula para ahli Politik yang hanya membincangkan perkara ekonomi, sosial, dan
politik sahaja, namun tidak membahas perkara budaya, etik, dan menegakkan bahasa
Melayu sebagai bahasa Nasional. Selanjutnya, usaha untuk mempertahankan bahasa
Melayu ini, telah Prof. al-Attas buktikan pada saat beliau menjabat sebagai
Dekan Fakulti Bahasa dan Sastera Universiti Kebangsaan Malaysia, kerana
Universiti tersebut pada masa itu pula kurang peduli terhadap bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar yang dapat meningkatkan rasa kesatuan kebangsaan di
kalangan berbagai ras. Prof. al-Attas mengkhawatirkan akibat buruk kedepannya
apabila bahasa Melayu ini tidak dianggap penting dan dilupakan oleh Negeri ini.
Seperti halnya Singapura, pada hari ini mereka tidak akan berbicara tentang
Melayu sebagai asal usul mereka, bahkan mereka ingin menghapuskannya.
Prof. al-Attas mengatakan bahawa kedatangan Islām ke alam
Melayu ini harus direnungkan sebagai suatu peristiwa penting sejarah yang
menandakan suatu zaman baru dan kedatangan Islām itu pula telah
memutuskan diri dari zaman pra-Islām. Melalui bahasa Melayu, Islām telah
menghantarkan bangsa Melayu ini ke arah pemodenan.[3] Pemodenan ini dapat kita lihat melalui alat
satu tulisan yang kita kenal tulisan Jawi[4] atau di Indonesia dikenal dengan tulisan Arab
Melayu yang sudah hampir seribu
tahun menjadi tulisan bahasa Melayu, dan yang menyatu-padukan bahasa itu supaya
dapat bergerak maju dalam proses sejarahnya kearah zaman moden, kearah kegunaan
saintifik, dan menanam faham kebangsaan dalam pribadi masharakat Melayu. Tulisan
Jawi pada saat itu telah memberikan pengaruh yang sangat besar bagi
bangsa Melayu ini. Tetapi pada zaman sekarang ini, tulisan Jawi telah
dilupakan bahkan ingin dihapuskan. Pada tahun 1956, telah ada perbincangan mengenai perubahan Jawi ke Rumi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Ketika Prof. al-Attas pulang dari United Kingdom, beliau membahaskan perkara perubahan tulisan Jawi ini. Prof.
al-Attas mengatakan sangat pentingnya script Jawi ini, jika dilupakan maka itu akan berimpak pada agama, faktanya hari ini itu terjadi.
Bahasa Melayu telah diperislamkan. Bahasa Arab adalah
bahasa agama Islām yang diangkat pula melalui bahasa Arab al-Qur’ān[5] telah memperkenalkan istilah-istilah penting
ke bahasa Melayu – untuk memperbincangkan soal-soal teologi, metafizik,
mengenai ketuhanan dan soal-soal falsafah yang rumit – seperti kata ilmu dan ada. Kata ini pula
digunakan oleh berbagai bangsa Muslim seperti, Turki, Urdu, Cina Muslim, dan
India Muslim. Inilah yang Prof. al-Attas sebut dengan Islamized language.
Pertama, kata ilmu, maknanya sama dalam berbagai bahasa yang digunakan umat
Islām, namun hari ini kata ilmu ini menjadi keliru iaitu diartikan ilmu
pengetahuan. Padahal makna Ilmu di sini lebih tepatnya ialah ilmu pengenalan
bukan ilmu Pengetahuan, kerana kenal lebih dalam daripada pengetahuan. Sebab, orang tahu belum tentu ia kenal. Apabila diterjamahkan ke dalam bahasa
Inggeris, ilmu pengetahuan ialah science, sedangkan ilmu pengenalan
ialah knowledge. Kedua, kata wujud atau ada bermakna sesuatu itu ada di tempat atau waktu (something that exist at space and time). Kerana itu, dalam bahasa melayu tua, mereka telah menggunakan ini. bahkan juga
mereka menggunakan kata wujud yang menjadi sifat daripada Tuhan itu sendiri.
Penyatuan bahasa Melayu oleh Islām melalui alat satu
tulisan (jawi) telah menimbulkan satu bahasa umum yang menyatu-padukan
semangat dan pemikiran penggunanya dan sekalian dari segi kebudayaan pula.
Penyatu-paduan inilah salah satu faktor penting yang telah menimbulkan perasaan
perpaduan dan faham kebangsaan. Perasaan perpaduan (sentiment of
solidarity) dan faham kebangsaan itu, menurut Prof. al-Attas, timbul kerana
beberapa faktor: faktor agama, faktor bahasa, dan faktor sejarah atau nasib
politik sesuatu golongan masharakat yang telah dialami bersama dalam
sejarahnya.
Bahasa Melayu telah memberi kesan yang sangat besar bagi
bangsa Melayu ini. Dengan menyatu-padukan dari berbagai ras dan suku di
Kepulauan Alam Melayu ini, bahasa Melayu melalui Islām telah membawa dan
menggerakkan kepada evolusi satu bangsa kemudian menjadi bangsa yang besar. Sama
halnya dengan bangsa lain. Seluruh bangsa di dunia hari ini mempunyai proses
untuk menjadi sebuah bangsa. Dari sekumpulan kelompok yang kecil menjadi sebuah
bangsa yang besar. Ialah daripada Nabi Ibrāhīm, seterusnya anaknya Nabi Ismāʻīl
‘Alayh al-Salām dan Nabi Isḥāk ‘Alayh al-Salām. Dari keturunan mereka inilah lahir suatu bangsa yang besar seperti Mesir dan Mesopotamia—yang kita kenal hari ini sebagai Iraq dan Syiria.
Prof. al-Attas mengatakan bahawa dasar kebudayaan
Malaysia mesti berlandaskan nilai-nilai sejarah dan kebudayaan Islām. Kerana
Islām telah membawa kesan yang mendalam terhadap bangsa Melayu ini, kearah
pemodenan daripada zaman pra-Islām. Kita jangan melupakan sejarah yang akan
mengakibatkan kehilangan kepribadian kebangsaan kita.
Sila lihat tulisan saya ini di http: http://www.utm.my/casis/saturday-night-lecture/“faham-bangsa-dan-kebangsaan”-ringkasan-syarahan-sabtu-malam-syed-muhammad-naquib-al-attas/
Sila lihat tulisan saya ini di http: http://www.utm.my/casis/saturday-night-lecture/“faham-bangsa-dan-kebangsaan”-ringkasan-syarahan-sabtu-malam-syed-muhammad-naquib-al-attas/
[1] Syarahan ini diorganisir oleh
Centre for Advanced Studies on Islām, Science and Civilisation / Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan
Peradaban (CASIS-UTM). Syarahan ini ialah seri yang ke-tiga pada minggu yang
ke-dua tahun 2013.
[2] Untuk lebih mengetahui syarahan
Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dua pekan lepas (14 September 2013)
sila lihat ringkasannya di (http://www.utm.my/casis/saturday-night-lecture/the-malay-language-and-its-role-in-nation-building-summary-of-saturday-night-lecture-3rd-series-14th-sept-2013/) oleh Hasanul Arifin Zawawi, calon Master di CASIS
[3] Pemodenan di sini
ditilik sebagai faktor kebudayaan, bukan sebagai faktor masa,
atau barang sesuatu yang baru didapati sekarang yang tiada terdapat dikala
lampau, dan dari itu konsep konsep ini tiada patut dikelirukan dengan masa atau
barang sesuatu yang baru. Lihat: Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Konsep
Baru mengenai Renchana serta Chara-gaya Penelitian Ilmiah Pengkajian Bahasa,
Kesusteraan dan Kebudayaan, (Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia,
1972) ms. 11
[4] Jawi itu
adalah nama gelaran orang Arab terhadap seluruh bangsa-bangsa penduduk daerah
Kepulauan ini, akan tetapi bagaimanapun sangatlah berkesimpulan bagi pengkajian
kita mengenai sejarah bahasa Melayu bahawa orang Melayu sendiri menamakan
bahasanya bahasa jawi, meskipun istilah jawi itu sebenarnya
digunakan oleh mereka khusus bagi
menamakan tulisan Arab-Melayu, seolah-olah orang Melayu kala itu
menamakan bahasanya berdasarkan pada tulisannya. Lihat: Prof. Dr. Syed Muhammad
Naquib al-Attas, Islām dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, (Kuala
Lumpur: ABIM, 1999) ms. 43.
[5] Dari pengaruh
al-Qur’ān telah timbul dalam bahasa Arab suatu ilmu persajakan Islām.
Al-Qur’ānlah yang merupakan kemuncak ilmu bahasa Arab perihal segala-galanya,
dan yang dianggap sebagai kewibawaan yang tunggal dalam menentukan nahu bahasa
Arab. Lihat: Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islām dalam Sejarah
dan Kebudayaan Melayu, (Kuala Lumpur: ABIM, 1999) ms. 30-31
Tidak ada komentar:
Posting Komentar