Laman

Kamis, 17 Oktober 2013

Faham Bangsa dan Kebangsaan

Ringkasan 
Syarahan Sabtu Malam[1]
Bersama
Tan Sri Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas



Pada tarikh 28 September 2013 lalu, Tan Sri Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas meneruskan kembali syarahannya daripada Saturday Night Lecture dua pekan lepas (14 September 2013) yang bertempat di Universiti Teknologi Malaysia mengenai faham  Bangsa dan Kebangsaan (Nation and Nationhood) dan hubungkaitnya dengan bahasa Melayu sebagai penyatuan bangsa Melayu ini.[2]
Beliau memulai syarahannya dengan menghuraikan mengapa bahasa Melayu mesti menjadi bahasa Nasional. Menurutnya, dalam sejarah kita (Melayu), bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di Kepulauan Melayu ini, yang mencapai kecermerlangannya kerana pengaruh kedatangan Islām. Islām yang menyebarkan bahasa Melayu kemerata pelosok Kepulauan alam Melayu ini. Dan Islām jugalah yang telah mengangkat dan menyatukan kelompok bahasa-bahasa yang dapat digelar ‘Melayu’ supaya menjadi satu bahasa bangsa Melayu. Bahasa Indonesia dari bahasa Melayu pula, hanya sahaja mereka memanggilnya dengan bahasa Indonesia. Islām jualah yang menyebarkan bahasa Melayu itu kemerata pelosok Kepulauan alam Melayu-Indonesia, sehingga kini menjadi bahasa rasmi bagi negara tersebut. Negara Filipina pun menggunakan bahasa Melayu pula, bahkan ketika khutbah Jum’at mereka menggunakan script Jawi, namun ketika Spanyol datang ke Filipina, ianya merubah segalanya.
Pada tahun 1957, Prof. al-Attas telah memberikan kontribusi yang sangat penting terhadap bahasa Melayu. Pada masa itu beliau mempertahankan bahasa Melayu dari sebahagian puak-puak yang tidak menyetujui bahkan ada upaya menyingkirkan bahasa Melayu sebagai bahasa Nasional. Termasuk pula para ahli Politik yang hanya membincangkan perkara ekonomi, sosial, dan politik sahaja, namun tidak membahas perkara budaya, etik, dan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Nasional. Selanjutnya, usaha untuk mempertahankan bahasa Melayu ini, telah Prof. al-Attas buktikan pada saat beliau menjabat sebagai Dekan Fakulti Bahasa dan Sastera Universiti Kebangsaan Malaysia, kerana Universiti tersebut pada masa itu pula kurang peduli terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang dapat meningkatkan rasa kesatuan kebangsaan di kalangan berbagai ras. Prof. al-Attas mengkhawatirkan akibat buruk kedepannya apabila bahasa Melayu ini tidak dianggap penting dan dilupakan oleh Negeri ini. Seperti halnya Singapura, pada hari ini mereka tidak akan berbicara tentang Melayu sebagai asal usul mereka, bahkan mereka ingin menghapuskannya.


Prof. al-Attas mengatakan bahawa kedatangan Islām ke alam Melayu ini harus direnungkan sebagai suatu peristiwa penting sejarah yang menandakan suatu zaman baru dan kedatangan Islām itu pula telah memutuskan diri dari zaman pra-Islām. Melalui bahasa Melayu, Islām telah menghantarkan bangsa Melayu ini ke arah pemodenan.[3] Pemodenan ini dapat kita lihat melalui alat satu tulisan yang kita kenal tulisan Jawi[4] atau di Indonesia dikenal dengan tulisan Arab Melayu  yang sudah hampir seribu tahun menjadi tulisan bahasa Melayu, dan yang menyatu-padukan bahasa itu supaya dapat bergerak maju dalam proses sejarahnya kearah zaman moden, kearah kegunaan saintifik, dan menanam faham kebangsaan dalam pribadi masharakat Melayu. Tulisan Jawi pada saat itu telah memberikan pengaruh yang sangat besar bagi bangsa Melayu ini. Tetapi pada zaman sekarang ini, tulisan Jawi telah dilupakan bahkan ingin dihapuskan. Pada tahun 1956, telah ada perbincangan mengenai perubahan Jawi ke Rumi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Ketika Prof. al-Attas pulang dari United Kingdom, beliau membahaskan perkara perubahan tulisan Jawi ini. Prof. al-Attas mengatakan sangat pentingnya script Jawi ini, jika dilupakan maka itu akan berimpak pada agama, faktanya hari ini itu terjadi.
Bahasa Melayu telah diperislamkan. Bahasa Arab adalah bahasa agama Islām yang diangkat pula melalui bahasa Arab al-Qur’ān[5] telah memperkenalkan istilah-istilah penting ke bahasa Melayu – untuk  memperbincangkan soal-soal teologi, metafizik, mengenai ketuhanan dan soal-soal falsafah yang rumit – seperti  kata ilmu dan ada. Kata ini pula digunakan oleh berbagai bangsa Muslim seperti, Turki, Urdu, Cina Muslim, dan India Muslim. Inilah yang Prof. al-Attas sebut dengan Islamized language. Pertama, kata ilmu, maknanya sama dalam berbagai bahasa yang digunakan umat Islām, namun hari ini kata ilmu ini menjadi keliru iaitu diartikan ilmu pengetahuan. Padahal makna Ilmu di sini lebih tepatnya ialah ilmu pengenalan bukan ilmu Pengetahuan, kerana kenal lebih dalam daripada pengetahuan. Sebab, orang tahu belum tentu ia kenal. Apabila diterjamahkan ke dalam bahasa Inggeris, ilmu pengetahuan ialah science, sedangkan ilmu pengenalan ialah knowledge. Kedua, kata wujud atau ada bermakna sesuatu itu ada di tempat atau waktu (something that exist at space and time). Kerana itu, dalam bahasa melayu tua, mereka telah menggunakan ini. bahkan juga mereka menggunakan kata wujud yang menjadi sifat daripada Tuhan itu sendiri.
Penyatuan bahasa Melayu oleh Islām melalui alat satu tulisan (jawi) telah menimbulkan satu bahasa umum yang menyatu-padukan semangat dan pemikiran penggunanya dan sekalian dari segi kebudayaan pula. Penyatu-paduan inilah salah satu faktor penting yang telah menimbulkan perasaan perpaduan dan faham kebangsaan. Perasaan perpaduan (sentiment of solidarity) dan faham kebangsaan itu, menurut Prof. al-Attas, timbul kerana beberapa faktor: faktor agama, faktor bahasa, dan faktor sejarah atau nasib politik sesuatu golongan masharakat yang telah dialami bersama dalam sejarahnya.
Bahasa Melayu telah memberi kesan yang sangat besar bagi bangsa Melayu ini. Dengan menyatu-padukan dari berbagai ras dan suku di Kepulauan Alam Melayu ini, bahasa Melayu melalui Islām telah membawa dan menggerakkan kepada evolusi satu bangsa kemudian menjadi bangsa yang besar. Sama halnya dengan bangsa lain. Seluruh bangsa di dunia hari ini mempunyai proses untuk menjadi sebuah bangsa. Dari sekumpulan kelompok yang kecil menjadi sebuah bangsa yang besar. Ialah daripada Nabi Ibrāhīm, seterusnya anaknya Nabi Ismāʻīl ‘Alayh al-Salām dan Nabi Isḥāk ‘Alayh al-Salām. Dari keturunan mereka inilah lahir suatu bangsa yang besar seperti Mesir dan Mesopotamiayang kita kenal hari ini sebagai Iraq dan Syiria.
Prof. al-Attas mengatakan bahawa dasar kebudayaan Malaysia mesti berlandaskan nilai-nilai sejarah dan kebudayaan Islām. Kerana Islām telah membawa kesan yang mendalam terhadap bangsa Melayu ini, kearah pemodenan daripada zaman pra-Islām. Kita jangan melupakan sejarah yang akan mengakibatkan kehilangan kepribadian kebangsaan kita.


Sila lihat tulisan saya ini di http: http://www.utm.my/casis/saturday-night-lecture/“faham-bangsa-dan-kebangsaan”-ringkasan-syarahan-sabtu-malam-syed-muhammad-naquib-al-attas/


[1]     Syarahan ini diorganisir oleh Centre for Advanced Studies on Islām, Science and Civilisation / Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM). Syarahan ini ialah seri yang ke-tiga pada minggu yang ke-dua tahun 2013.
[2]     Untuk lebih mengetahui syarahan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dua pekan lepas (14 September 2013) sila lihat ringkasannya di (http://www.utm.my/casis/saturday-night-lecture/the-malay-language-and-its-role-in-nation-building-summary-of-saturday-night-lecture-3rd-series-14th-sept-2013/) oleh Hasanul Arifin Zawawi, calon Master di CASIS 
[3]     Pemodenan di sini ditilik sebagai faktor kebudayaan, bukan sebagai faktor masa, atau barang sesuatu yang baru didapati sekarang yang tiada terdapat dikala lampau, dan dari itu konsep konsep ini tiada patut dikelirukan dengan masa atau barang sesuatu yang baru. Lihat: Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Konsep Baru mengenai Renchana serta Chara-gaya Penelitian Ilmiah Pengkajian Bahasa, Kesusteraan dan Kebudayaan, (Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972) ms. 11
[4]     Jawi itu adalah nama gelaran orang Arab terhadap seluruh bangsa-bangsa penduduk daerah Kepulauan ini, akan tetapi bagaimanapun sangatlah berkesimpulan bagi pengkajian kita mengenai sejarah bahasa Melayu bahawa orang Melayu sendiri menamakan bahasanya bahasa jawi, meskipun istilah jawi itu sebenarnya digunakan oleh mereka khusus bagi  menamakan tulisan Arab-Melayu, seolah-olah orang Melayu kala itu menamakan bahasanya berdasarkan pada tulisannya. Lihat: Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islām dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, (Kuala Lumpur: ABIM, 1999) ms. 43.
[5]     Dari pengaruh al-Qur’ān telah timbul dalam bahasa Arab suatu ilmu persajakan Islām. Al-Qur’ānlah yang merupakan kemuncak ilmu bahasa Arab perihal segala-galanya, dan yang dianggap sebagai kewibawaan yang tunggal dalam menentukan nahu bahasa Arab. Lihat: Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islām dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, (Kuala Lumpur: ABIM, 1999) ms. 30-31

Sabtu, 12 Oktober 2013

Ikhtiar Kata

Oleh: Mukhlas Nugraha















Membuka tabir makna
Makna di dalam jiwa
Untuk sebuah kata menjadi rangkaian kata
Kata dalam lingkaran makna
------------
Dalam pandangan batin mata
Ku temukan titik-titik kata itu di dalam jiwa
Akal mencoba meraihnya
Untuk sebuah makna dalam susunan kata

Aku masuk dan menyelamkan diri dalam lautan kata
Di sana ku terkejut melihat ribuan kata terserak di mana-mana
Kata tak bermakna pun ada di dalamnya
Aku bingung manakah kata bermakna yang aku cari itu?
Dia ada dibalik bongkahan batu karang yang keras dan terselip diantara kata yang tak aku suka.
Aku kesulitan...
Mata batinku tak setajam di saat aku masih di luar jiwa
Akalku tak sedalam, sedalamnya lautan kata
Mungkinkah matahari telah mengurangi sinarnya, sehingga lautan menjadi gelap gulita?
--------
Akhirnya aku berusaha menenangkan diri
Mengenali diri, ada apa dengan diri ini
Adakah diri ini merusak diri?
Sehingga makna itu takut dengan diriku?
Aku rasakan itu...
Kejolakan diri antara nafsu natiqah dan hayawānī
Allāhu yā Rabbī...
----------
Aku pulang dengan sederet kata yang ada
Tak hiraukan kata bermakna terbubuh oleh kata tak bermakna
Aku rangkul kata-kata itu dengan erat-erat
Untuk si rongga di muka karena tak sabar untuk berkata
Saat ini, jangan kau tanyakan kenapa, wahai sahabatku rongga di muka !
Sabar...
Janjiku..
Aku pasti dapat menguasai lautan kata itu
Menyelubungi dan menyelinap setiap kata perkata
Untuk meraih makna dalam susunan kata
Susunan kata dalam lingkaran bola makna..


Kuala Lumpur,
Jum’at, 11 Oktober 2013; 04:07 pm